Subscribe:

Ads 468x60px

Pages

Sunday, 1 April 2012

Redha Itu Jalan Menuju Ke Syurga


Manusia tidak akan terlepas dari menghadapi ujian kehidupan sama ada ujian itu ringan mahupun berat. Setiap ujian itu manusia mampu menghadapinya walaupun pada saat itu manusia sudah tidak terdaya menghadapinya kerana setiap ujian itu sesuai dan terbaik bagi manusia itu.Sebagaimana Allah jelaskan dalam Al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 216 “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenakan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatut, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

Hidup itu sendiri adalah sebuah ujian. Ujian sejauh mana manusia taat kepada Sang Pencipta Alam Semesta. Namun sejauh mana ujian itu memberi kesan kepada manusia sama ada kesan baik ataupun kesan derita. Ia bergantung kepada manusia itu sendiri bagaimana dia menghadapi ujian dan menyelesaikan masalah itu. Ujian itu menyedarkan dari lamunan yang panjang yang kadangkala leka dengan keasyikan dunia, kealpaan dunia yang sebenar dan kelalaian taat kepadaNya. Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya, namun hamba-hambaNya sendiri yang menzalimi diri sendiri. Setiap ujian itu adalah yang terbaik bagi manusia, walaupun pahit menghadapinya. 

Di dalam Al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 286, Allah berfirman “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya, dan dia mendapat seksa dari kejahatan yang dilakukannya. Mereka berdoa, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah bebani kami dengan bebanan yang sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkau pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.” 

Namun sejauh manusia redha akan segala ketentuanNya untuk dirinya. Itu menjadi persoalan setiap diri manusia. Adakah manusia redha atau pasrah akan ketentuan itu? Kadangkala manusia keliru dan tidak dapat berbeza di antara redha dan pasrah. Redha itu hati dan diri menerima dengan tenang ujian itu, yakin ada cahaya suatu nanti dan tidak akan mengungkit kembali ujian itu. Pasrah pula hati dan diri menerima ujian itu dalam keadaan terpaksa kerana tiada lagi pilihan dan akan mengungkit kembali apabila ujian itu kembali bermain di minda. Ramai manusia mengatakan dia redha namun tindakan tidak seperti redha kerana bukan redha tapi pasrah dengan ujian itu yang menyebabkan hati dan diri dalam kegelisahan dan memberontak. Lebih teruk lagi menyalahkan Allah menimba ujian kepada dirinya. Hakikatnya, Allah tidak pernah zalim kepada hamba-hambaNya. Namun hamba-hambaNya selalu menzalimi dirinya sendiri. Bezakanlah antara redha dan pasrah agar diri tidak terus lemah dalam ujian kehidupan.

Redha itu berkait rapat dengan hati kerana hati adalah raja kepada diri. Hati yang baik, maka luarannya akan baik. Apabila hati bermasalah, maka luarannya juga akan bermasalah. Segalanya bermula dari dalaman dan akan terpancar pada luaran. Hari ini ramai orang lebih pentingkan kecantikan luaran daripada kecantikan dalaman hingga sanggup habiskan duit yang banyak untuk kelihatan cantik dan tampan supaya mendapat pujian orang ramai. Namun ramai orang tidak sedar bahawa kecantikan luaran sahaja tidak mencukupi tanpa kecantikan dalaman. Kecantikan luaran akan berubah mengikut masa kerana muda akan akan menjadi tua. Tidak pula pada kecantikan dalaman yang akan mencantikkan luaran manusia terutamanya akhlak. Apabila hati dan minda tenang, apabila diuji dengan mehnah (cabaran) dan tribulasi (dugaan) kehidupan pasti manusia akan redha akan ketentuanNya kerana manusia tahu dan sedar bahawa apa yang berlaku itu adalah terbaik buat dirinya.

Persoalannya sejauh mana kita redha setiap kali diuji dengan cabaran dan dugaan kehidupan. Hanya kebergantungan kepada Allah sahajalah sumber kekuatan yang terbaik supaya kita menjadi hamba yang redha dan bersyukur akan segala ketentuanNya. Segala cabaran dan jalan penyelesaian datang dari Allah dan kepadaNya kita kembalikannya dan memohon pertolongan. Bezakanlah antara redha dan pasrah agar kita sentiasa bernafas dalam jiwa hamba.


Wednesday, 7 March 2012

Hukum Berkahwin


Hukum ini terbahagi kepada 5 bahagian iaitu :-

1. WAJIB BERKAHWIN:
Sekiranya seseorang itu mempunyai keupayaan dari segi kewangan untuk membayar “mahar”(mas kahwin) dan mampu menyediakan nafkah isteri lahir dan batin. Beliau juga tidak berniat untk menganiya isterinya selama berumah tangga. Di samping itu, beliau juga yakin akan terdorong melakukan maksiat (zina) di sebabkan runtunan nafsu yang kuat jika tidak berkahwin.

2. SUNAT BERKAHWIN:
Kepada orang yang mampu, tetapi aman dirinya daripada terjatuh ke lembah maksiat. Ini adalah hukum asal perkahwinan.

3. HARUS  BERKAHWIN:
Bagi seseorang yang yakin tidak akan melakukan zina jika tidak berkahwin serta mampu.

4. MAKRUH BERKAHWIN:
Apabila seseorang itu  bimbang jika dia berkahwin akan menzalimi isterinya. Di samping itu, dia mempunyai kelemahan fizikal yang tidak mampu memberikan nafkah batin kepada isterinya walaupun dari segi kewangan beliau mampu  dan juga makruh berkahwin sewaktu negara sedang menghadapi peperangan.

5. HARAM BERKAHWIN:
Bagi seseorang yang tidak dapat menunaikan kewajipan2 terhadap isterinya lahir dan batin dan mempunyai keyakinan akan menganiaya.




Sunday, 4 March 2012

Ilmu Itu Cahaya Sanubari


Ilmu itu ibarat cahaya yang menerangi kehidupan insan. Cahaya yang menjadi kompas penunjuk arah kehidupan. Namun cahaya ilmu tidak dapat berlabuh di hati yang gelap dan kotor. Kerana sudah menjadi fitrah kehidupan bahawa benda yang bersih tidak dapat bercampur dengan benda yang kotor. Begitulah dengan ilmu tidak dapat meresap ke dalam hati insan yang gelap yang dipenuhi dengan titik-titik hitam atas dosa dan maksiat yang dilakukan sepanjang hari. Yang semakin hari semakin banyak hingga hati dipenuhi dengan titik-titik dosa.

Apabila hati dipenuhi dengan dosa maka hati akan menjadi keras dan payah menerima apa-apa sahaja yang baik. Ilmu semakin menjauhkan dirinya daripada hati dan diri insan. Disebabkan itulah, apa yang dipelajari di sekolah mahupun di institute pengajian tinggi payah hendak difahami dan diingati. Ini kerana ilmu yang dipelajari di dalam kelas hanya sekadar berlalu begitu sahaja bersama sua-sua guru yang mengajarnya. Inilah hakikat yang berlaku pada pelajar zaman sekarang yang tidak berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran.

Ini menyebabkan belajar itu semakin sulit dan menyakitkan. Apabila sudah sampai saat kronik, pelajar mulalah abaikan pelajaran kerana baginya belajar atau tidak belajar sama sahaja. Seolah-olah pergi ke sekolah sama sahaja tidak pergi ke sekolah. Kesannya tiada lagi keseronokan menimba ilmu dan sekaligus menimbulkan masalah dan gejala ponteng sekolah yang semakin menjadi-jadi pelajar zaman kini. Di mana silapnya, guru yang tidak pandai mengajar? Ibu bapa yang mengabaikan anak-anaknya yang sibuk mencari rezeki? Atau pelajar itu sendiri yang bermasalah dan tidak ingin berubah?

Dalam sedar atau tidak, hati itu adalah raja kepada diri. Apabila baik hatinya, baiklah dirinya. Apabila buruk hatinya, buruklah dirinya. Cantik luaran sahaja tidak mencukupi tanpa cantik dalaman sekali. Oleh itu, ingin cantik dalaman mestilah sentiasa memberi makanannya yang bernama rohani. Sentiasalah bersihkan hati dengan berzikir, membaca Al-Quran dan lain-lain lagi agar ilmu yang dipelajari mudah meresap ke dalam hati. Apabila hati tidak dapat menerima ilmu maka sanubari menjadi gersang dan kontang. Sekaligus, kehidupan mula terumbang-ambing tanpa kompas penunjuk arah kehidupan yang akhirnya karam dalam fatamorgana kehidupan yang penuh onak duri dan tipu daya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Featured Posts