Subscribe:

Ads 468x60px

Pages

Showing posts with label Kembara Hidup. Show all posts
Showing posts with label Kembara Hidup. Show all posts

Sunday, 1 April 2012

Redha Itu Jalan Menuju Ke Syurga


Manusia tidak akan terlepas dari menghadapi ujian kehidupan sama ada ujian itu ringan mahupun berat. Setiap ujian itu manusia mampu menghadapinya walaupun pada saat itu manusia sudah tidak terdaya menghadapinya kerana setiap ujian itu sesuai dan terbaik bagi manusia itu.Sebagaimana Allah jelaskan dalam Al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 216 “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenakan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatut, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

Hidup itu sendiri adalah sebuah ujian. Ujian sejauh mana manusia taat kepada Sang Pencipta Alam Semesta. Namun sejauh mana ujian itu memberi kesan kepada manusia sama ada kesan baik ataupun kesan derita. Ia bergantung kepada manusia itu sendiri bagaimana dia menghadapi ujian dan menyelesaikan masalah itu. Ujian itu menyedarkan dari lamunan yang panjang yang kadangkala leka dengan keasyikan dunia, kealpaan dunia yang sebenar dan kelalaian taat kepadaNya. Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya, namun hamba-hambaNya sendiri yang menzalimi diri sendiri. Setiap ujian itu adalah yang terbaik bagi manusia, walaupun pahit menghadapinya. 

Di dalam Al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 286, Allah berfirman “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya, dan dia mendapat seksa dari kejahatan yang dilakukannya. Mereka berdoa, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah bebani kami dengan bebanan yang sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkau pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.” 

Namun sejauh manusia redha akan segala ketentuanNya untuk dirinya. Itu menjadi persoalan setiap diri manusia. Adakah manusia redha atau pasrah akan ketentuan itu? Kadangkala manusia keliru dan tidak dapat berbeza di antara redha dan pasrah. Redha itu hati dan diri menerima dengan tenang ujian itu, yakin ada cahaya suatu nanti dan tidak akan mengungkit kembali ujian itu. Pasrah pula hati dan diri menerima ujian itu dalam keadaan terpaksa kerana tiada lagi pilihan dan akan mengungkit kembali apabila ujian itu kembali bermain di minda. Ramai manusia mengatakan dia redha namun tindakan tidak seperti redha kerana bukan redha tapi pasrah dengan ujian itu yang menyebabkan hati dan diri dalam kegelisahan dan memberontak. Lebih teruk lagi menyalahkan Allah menimba ujian kepada dirinya. Hakikatnya, Allah tidak pernah zalim kepada hamba-hambaNya. Namun hamba-hambaNya selalu menzalimi dirinya sendiri. Bezakanlah antara redha dan pasrah agar diri tidak terus lemah dalam ujian kehidupan.

Redha itu berkait rapat dengan hati kerana hati adalah raja kepada diri. Hati yang baik, maka luarannya akan baik. Apabila hati bermasalah, maka luarannya juga akan bermasalah. Segalanya bermula dari dalaman dan akan terpancar pada luaran. Hari ini ramai orang lebih pentingkan kecantikan luaran daripada kecantikan dalaman hingga sanggup habiskan duit yang banyak untuk kelihatan cantik dan tampan supaya mendapat pujian orang ramai. Namun ramai orang tidak sedar bahawa kecantikan luaran sahaja tidak mencukupi tanpa kecantikan dalaman. Kecantikan luaran akan berubah mengikut masa kerana muda akan akan menjadi tua. Tidak pula pada kecantikan dalaman yang akan mencantikkan luaran manusia terutamanya akhlak. Apabila hati dan minda tenang, apabila diuji dengan mehnah (cabaran) dan tribulasi (dugaan) kehidupan pasti manusia akan redha akan ketentuanNya kerana manusia tahu dan sedar bahawa apa yang berlaku itu adalah terbaik buat dirinya.

Persoalannya sejauh mana kita redha setiap kali diuji dengan cabaran dan dugaan kehidupan. Hanya kebergantungan kepada Allah sahajalah sumber kekuatan yang terbaik supaya kita menjadi hamba yang redha dan bersyukur akan segala ketentuanNya. Segala cabaran dan jalan penyelesaian datang dari Allah dan kepadaNya kita kembalikannya dan memohon pertolongan. Bezakanlah antara redha dan pasrah agar kita sentiasa bernafas dalam jiwa hamba.


Sunday, 26 February 2012

Sakit Mengajar Kita Erti Nikmat Sihat


Tiada siapa mahu diuji dengan sakit walaupun hanya digigit semut. Kerana sakit itu satu kepahitan. Kerana pahit satu yang tidak indah dirasai. Tapi tiada siapa menduga apabila sakit datang menjengah diri. Dikala kita sedar atau tidak kerana zaman kini penyakit tidak mengenal umur dan siapa. Sudah banyak orang di usia kanak-kanak sudah ada penyakit kronik. Semua itu ketentuanNya, tiada siapa dapat menghalang apabila Dia mahu.

Tapi ramai orang tidak sedar bahawa sakit juga satu nikmat pemberianNya seperti nikmat-nikmat lain. Sakit mengajar kita erti nikmat sihat yang kadang-kadang ramai tidak menjaganya dengan baik. Disebabkan kesibukan aktiviti harian manusia lupa menjaga kesihatan diri. Ditambah jarang sakit lagilah buat manusia leka dan senang hati dengan kesihatannya. Sebab itulah kadang-kadang terus diserang sakit yang teruk.

Yang pasti setiap ujian dan pemberianNya ada hikmah disebaliknya sama ada kita sedar atau tidak. Kerana sakit buat kita lebih menghargai kesihatan diri. Kerana sakit buat kita lebih rapat denganNya. Kerana sakit buat kita sedar dan beringat akan kematian yang akan datang jua. Semua itu ada hikmahnya yang Dia mahu bagi tahu pada kita. Kerana Dia berikan apa yang perlu bagi kita bukan apa yang kita mahu.

Sama-samalah kita menjaga kesihatan diri sebelum sakit datang menjengah diri. Bagi insan yang dialami sakit janganlah sedih kerana sakit itu buat kita lebih kuat jiwa dan hati dari orang yang sihat. Anggaplah sakit itu nimat istimewa dariNya




Friday, 24 February 2012

Agungnya Sebuah Keikhlasan


Keikhlasan adalah satu perkara yang tidak dapat dilihat dan dinilai dengan mata kasar manusia. Ia berkaitan dengan batin dan dalaman manusia. Kerana itu manusia sering tertipu dan silap erti sebuah keikhlasan sebenarnya. Ditambah syaitan sering menipu daya dan membisik manusia bahawa ikhlas begitu dan begini. Tapi pada hakikatnya ia tidak semudah disangka walaupun ia nampak mudah dilaksanakan. Kerana bukan mudah mendapat darjat keikhlasan di sisiNya.

Bukan mudah ikhlaskan hati dan diri dalam semua perkara dan perbuatan seharian kita hanya keranaNya. Tanpa niat keranaNya maka sia-sialah perbuatan kita itu melainkan kita hanya mendapat riak dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Apatah lagi berkaitan dengan ibadah khusus seperti solat lima waktu sehari. Sebab itulah sebaiknya sebelum memulakan solat, niat dan kata pada hati dan diri yang kita solat ini hanya keranaNya bukan kerana yang lain.

Ikhlas ibarat tangan kanan memberi tapi dalam masa yang sama tangan kiri tidak mengetahuinya. Namun hakikatnya ramai manusia tidak buat begitu kerana manusia sering suka berbangga dan menunjuk-nunjuk apa yang dia buat kepada orang lain. Kerana ingin mendapat pujian dan gelaran yang akan membuat dia menjadi orang terkenal dan nampak orang yang baik. Itulah yang kita sering lihat dalam akhbar dan tv apabila ada yang menderma kepada badan kebajikan.

Biarlah perkara seharian yang kita lakukan hanya diri sendiri dan Allah sahaja yang mengetahui. Janganlah menunjuk-nunjuk kepada orang lain kerana sia-sia sahaja apa yang bakal kita terima. Ikhlas menentukan pahala atau dosa. Ikhlas menentukan syurga atau neraka. Ikhlas menentukan bermanfaat atau sia-sia. Perbetulkan definasi ikhlas yang sebenarnya. Niat perbuatan yang keranaNya itu adalah ikhlas. Niat perbuatan bukan keranaNya itu bukan ikhlas.


Wednesday, 22 February 2012

Di Sebalik Liku-Liku Kehidupan


Kerana aku seorang insan dan hamba. Pasti aku ditimpa ujian. Dikala aku bersedia atau tidak ujian tetap datang bertandang menguji diri. Ujian mengajar aku erti kehidupan. Bahawa kehidupan ini silih berganti suka dan duka. Ia dilengkapkan dengan corak air mata dan hampa. Itulah hakikat kehidupan mengajar aku erti sabar dan terus belajar senyum walaupun pahitnya ujian itu.

Ketika kehendakku tiada dalam genggaman. Aku menjadi insan matang. Mengenali kekurangan diri yang perlu aku akui siapa diriku. Mengajar aku mensyukuri setiap kekurangan dan kelebihan diriku. Terima dengan hati terbuka kelebihan insan lain. Kerana aku sedar setiap manusia ciptaan Sang Pencipta mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Kegagalan semalam telah menghancurkan hati dan impianku. Namun kegagalan itu mengajar aku bahawa setiap apa yang diimpikan tidak semua berada di tangan. Kerana aku sedar bahawa Sang Pencipta memberi apa yang perlu bagiku bukan apa yang aku mahu. Dia yang menciptakan aku maka Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diriku walaupun sesuatu sudah baik di mataku.

Ujian menyedarkan aku bahawa aku merancang dan masa yang sama Sang Pencipta juga merancang. Namun perancangan Sang Pencipta adalah yang terbaik buat setiap hambaNya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya yang pasti ada kebaikannya sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Aku perlu muhasabah kembali setiap hikmahNya itu untuk aku tahu apa yang Sang Pencipta ingin sampaikan kepadaku.

Ujian dan dugaan itu adalah didikan terus daripada Sang Pencipta kepada hambaNya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Featured Posts