Di usia remaja kita tercari-cari indentiti diri yang sesuai dengan diri kita. Bermacam ragam dan gaya akan dicuba sehinggalah jiwa kita selesa dengan indentiti itu. Di usia remajalah kita dapat lihat anak muda sangat bergaya berbanding mereka yang sudah dewasa yang sederhana gayanya. Dari situlah kita akan lihat pelbagai ragam manusia di sekeliling kita. Ada yang ikut budaya agama, ada yang ikut budaya timur dan tidak terlepas juga yang ikut gaya barat ala-ala Hollywood.
Mencari identiti yang sesuai dengan diri sangat penting supaya kehidupan kita menjadi terurus dan menampak kematangan diri. Namun dalam sedar atau tidak masih ramai manusia yang tidak menjadi dirinya sendiri dan lebih suka terikut-ikut diri orang lain. Itulah yang berlaku kepada orang sekeliling kita dan mungkin kita sendiri yang mengalaminya secara sedar atau tidak. Itu yang mesti kita muhasabah kembali adakah kita sedang menjadi diri sendiri atau orang lain dalam jiwa kita.
Jadilah diri sendiri dan janganlah menjadi orang lain. Ia akan membezakan kita dan orang lain. Ia menampakkan kematangan diri kita. Ia akan membuat orang suka atau rimas dengan kita. Setiap orang dikurniakan kelebihan dan kekurangan diri. Kenali kelebihan dan kekurangan diri. Kelebihan diri disyukuri, kekurangan diri diredhai. Setiap kelebihan diri perlulah ditajamkan agar ia semakin bersinar manakala kekurangan diri perlu diperbaiki sedikit demi sedikit agar ia menjadi kelebihan satu hari nanti. Ingatlah manusia itu tidak sempurna dan pasti ada kekuranagnya.
Sebagai contoh, dalam dunia penulisan dan blog, jadilah diri sendiri dan jangan ikut sepenuhnya gaya penulisan orang lain. Tidak salah jadi panduan tapi kita olah dengan gaya kita sendiri bukan menirunya sepenuhnya sehingga orang lain menyamakan kita dengan orang yang kita tiru itu. Ini menampakkan kita tidak ada identiti sendiri dan tiada keyakinan diri yang menyebabkan orang tidak yakin dan tidak senang dengan penulisan kita. Menjadi diri sendiri perlu setiap masa kerana setiap masa kita akan belajar sesuatu baru yang mematangkan diri. Pengalaman adalah guru yang terbaik mematangkan diri.
Jadikanlah kelebihan diri dengan memberi manfaatkan kepada orang lain bukannya menyusahkan orang lain. Jadikanlah ia bekalan kita di akhirat nanti. Orang yang memberi lebih bermakna dari orang menerima. Hidup ini sentiasa memberi sama ada kita suka atau tidak kerana ia rantai perjalanan kehidupan. Belajarlah ikhlaskan niat apa yang kita lakukan setiap hari hanya keranaNya bukan kerana manusia untuk berbangga dan menunjuk-nunjuk. Belajar dan terus belajar menjadi diri sendiri yang luar biasa yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.










No comments:
Post a Comment