Cikgu yang terbaik dalam kehidupan kita adalah pengalaman. Pengalaman hari semalam, hari ini dan hari esok mengajar kita erti kehidupan, mematangkan fikiran dan mendewasakan diri. Pengalaman begitu berharga dalam kehidupan. Tidak dapat dibeli dan ditukar ganti dengan wang ringgit. Tanpa pengalaman hari semalam kita tidak akan dapat maju pada hari ini dan esok dan juga tidak dapat menambah baik diri dari sebelum ini. Pengalaman adalah guru terbaik mematangkan diri.
Cikgu yang teristimewa dalam kehidupan kita adalah ibu bapa kerana mereka mengajar kita erti kehidupan sejak kita kecil lagi sampailah dewasa. Tanpa ibu bapa, tiadalah kita. Tanpa ibu bapa, siapalah kita di dunia ini. Setiap tunjuk ajar dan nasihat ibu bapa adalah nasihat insan yang terbaik dalam kehidupan kita kerana mereka telah mengalami dan matang mengharungi kehidupan ini yang penuh cabaran dan onak duri. Setiap nasihat dan tunjuk ajar ibu bapa adalah terbaik buat diri kita.
Cikgu yang terindah dalam kehidupan kita adalah tenaga pengajar yang telah mengajar kita sama ada tadika, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun pengajian tinggi. Mereka sanggup berkorban masa dan membanting tenaga empat kerat mereka demi menabur bakti dan ilmu buat diri kita agar kita menjadi insan yang berjaya pada suatu hari nanti. Dengan semua ini, kita terus maju ke hadapan dengan ilmu yang dibekalkan dan diamalkan dalam kehidupan.
Cikgu yang ternilai dalam kehidupan kita adalah orang-orang sekeliling. Melalui mereka kita akan belajar sesuatu yang tidak kita pelajari dalam kelas. Apa yang berlaku pada sekeliling kita boleh kita jadikan panduan dan pengajaran untuk kita menghadapi kehidupan ini dengan lebih baik. Jadikan apa yang berlaku di sekeliling tidak kita ulangi dalam kehidupan kita. Yang baik dijadikan panduan, yang tidak baik jadikan sempadan. Orang sekeliling adalah cermin kepada diri kita untuk menilai setiap kekurangan dan kelebihan diri kita.
Hargailah cikgu-cikgu dalam kehidupan kita ini selagi mereka masih ada di dunia yang sementara ini. Tanpa tunjuk ajar mereka selama ini secara tersurat mahupun tersirat, siapalah diri kita pada hari ini.










No comments:
Post a Comment